Cetak

Sijil Tahfiz Al-Quran sebagai flagship UniSZA

Bermula September 2017, Universiti Sultan Zainal Abidin telah memperkenalkan Sijil Tahfiz Al-Quran di bawah kelolaan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI). Penawaran sijil tahfiz ini adalah cetusan idea Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniSZA, Prof. Dr Mahadzirah Mohamad. Selain bertepatan dengan imej Islam yang dibawa UniSZA, penawaran sijil tahfiz ini juga selari dengan misi UniSZA bagi melahirkan modal insan yang holistik.

            Seramai 43 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda dari pelbagai fakulti telah terpilih untuk mengikuti Sijil Tahfiz pada semester ini. Selain daripada FKI, terdapat 3 lagi penyertaan daripada fakulti lain seperti fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi dan Fakulti Sains Sosial Gunaan. Mereka telah mengikuti temuduga yang dijalankan oleh Fakulti Pengajian Kontemporari Islam bagi melayakkan mereka menyertai kursus ini. Pelajar yang Berjaya melalui saringan temuduga ini telah dipilih sebagai peserta Sijil Tahfiz al Quran UniSZA. Mereka perlu menghadiri kelas dan memperdengarkan bacaan selama tiga hari setiap minggu dalam tempoh tiga tahun. Mereka juga perlu menghabiskan lima juzuk bagi satu semester sehingga khatam.

            Pelajar yang tamat 30 juzuk akan mendapat Sijil Tahfiz UniSZA, manakala pelajar yang tidak tamat dan menghafal sebahagian sahaja akan diberikan sijil perakuan hafazan al-Quran yang dikeluarkan oleh UniSZA. Sepanjang tempoh tersebut, kursus ini dikendalikan oleh tenaga pengajar akademik daripada Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UniSZA yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang al-Quran.

            Adalah menjadi harapan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam agar sijil tahfiz ini akan menjadi satu flagship universiti yang diterjemahkan dalam bentuk imej dan ciri keunikan graduan UniSZA sebagai golongan professional huffaz. Selain itu, sijil tahfiz ini juga diharap dapat melahirkan graduan yang seimbang dari sudut akademik dan rohani. 

Sijil tahfiz1  
  Sijil tahfiz2
  Sijil tahfiz3
  Sijil tahfiz4