Cetak

PROGRAM MESRA MASYARAKAT II BERSAMA FELDA WILAYAH TERENGGANU

24 September 2017, UniSZA Gong Badak: Pusat Pengajian Syariah, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam telah meneruskan Program Mesra Masyarakat bagi siri II bagi tahun 2017 pada 24 September yang lalu. Program Mesra Masyarakat merupakan satu medium berbentuk ceramah dalam memberi pengisian kepada masyarakat setempat tentang isu kewanitaan yang disampaikan oleh para pensyarah wanita dari Pusat Pengajian Syariah.

Apa yang lebih menarik, Program Mesra Masyarakat kali ini dianjurkan dengan kerjasama FELDA Wilayah Terengganu yang bersifat dari wanita untuk wanita. Melalui tema “Pemantapan Fiqh Wanita Semasa”, seramai 87 warga FELDA termasuk urusetia program, yang terdiri dari 21 rancangan mewakili hampir semua daerah di negeri Terengganu telah menghadiri program tersebut. Sasaran peserta program ini adalah wanita FELDA yang terdiri daripada staff pentadbiran FELDA, ahli peneroka dan  ahli Gerakan Persatuan Wanita (GPW). Antara objektif utama program ini ialah untuk memberi khidmat penyampaian ilmu berasaskan Syariah kepada masyarakat FELDA di samping mengeratkan hubungan dengan pihak Pusat Pengajian Syariah khususnya dan warga UniSZA umumnya.

Program yang bermula seawal jam 8.30 pagi itu diisi dengan 4 siri ceramah berkaitan isu-isu fiqh wanita. Selain dari pengisisan ceramah tersebut, sesi mempromosi UniSZA turut diadakan dengan penyampaian taklimat oleh Bahagian Pengurusan Akademik (BPA). Seterusnya taklimat dari unit Pusat Komunikasi Korporat (PKK) berkenaan UniSZA turut disampaikan. Para peserta juga dibawa ke tempat-tempat menarik di sekitar kampus Gong Badak ketika sesi lawatan sekitar kampus agar UniSZA menjadi dekat di hati warga FELDA.

Program yang dipengerusikan oleh Dr. Siti Fatimah binti Salleh ini telah mendapat pujian daripada wakil pengurusan FELDA iaitu Ahamadaberidin Yaacob, selaku Pegawai Hal Ehwal Islam, FELDA Wilayah Terengganu. Menurut beliau, Warga FELDA berpuas hati dengan penyampaian yang disampaikan oleh para penceramah, sekaligus memberi pemantapan fiqh wanita kepada warga FELDA, khususnya kaum wanita. Beliau juga menyatakan hasrat untuk menjemput pensyarah-pensyarah dari Pusat pengajian Syariah bagi menyampaikan pengisian agama di ibu pejabat FELDA atau mana-mana kawasan cawangan FELDA.