Cetak

6 agensi luar sertai Wacana Tokoh Ulama Anjuran FKI

Tanggal 6 Jun 2017 , Unit Kajian Ulama Malayuwiyah atau singkatannya UKUM telah ditubuhkan di bawah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam(FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Matlamat penubuhan unit ini adalah bagi meningkatkan usaha konservasi, latihan, penyelidikan dan penyebaran ilmu-ilmu yang berkaitan ketokohan para ulama Melayu. Penubuhan unit ini juga merupakan cetusan idea Y.Bhg Naib Canselor Prof Dato’ Dr Ahmad Zubaidi bin Abdul Latif.

            UKUM mula mengorak langkah menganjurkan program sulungnya iaitu Wacana Tokoh Ulama Siri 1/2017 pada 19 September 2017 baru-baru ini. Wacana Tokoh Ulama Siri 1/2017 ini dirasmikan oleh Dekan FKI, Prof Dr Kamarul Shukri bin Mat Teh yang juga merupakan penasihat UKUM dan ucapan aluan disampaikan oleh Prof Dr Engku Ahmad Zaki bin Engku Alwi selaku Pengerusi UKUM. Wacana yang diadakan di Dewan Auditorium  Perpustakaan UniSZA ini telah berjaya mendapat perhatian beberapa agensi dan institusi luar seperti Jabatan Muzium Negeri Terengganu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu, Pondok Darul Muhajirin (Bukit Jong) dan Pondok al-Madini. Seramai 120 orang peserta dari agensi-agensi tersebut dan juga pelajar UniSZA telah menyertai wacana ini.

Wacana yang julung kalinya dianjurkan oleh UKUM ini bertujuan untuk memberi pendedahan tentang ketokohan ulama Malayuwiyah serta sumbangan pemikiran mereka di Alam Melayu ini. Selain itu, wacana ini juga bertujuan untuk merapatkan hubungan di antara UKUM dan agensi-agensi luar yang mempunyai minat yang sama terhadap kajian dan penyelidikan berkaitan ulama Malayuwiyah.

            Dalam wacana ini, 2 orang pensyarah telah membentangkan kertas kerja tentang 2 orang ulama silam di Negeri Terengganu. Dr Zurita binti Mohd Yusoff telah membentangkan kertas kerja bertajuk “Tok Pulau Manis: Perintis Kepada Penulisan Karya-karya Fikah di Terengganu”, manakala Dr Engku Ibrahim bin Engku Wok Zin pula membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Biografi dan Sumbangan Tok Ku Tuan Besar”. Kedua-dua kertas kerja yang dibentangkan ini adalah hasil kajian mereka di peringkat Doktor Falsafah.

            Para peserta yang hadir ke wacana ini berharap agar mereka dapat menyertai lagi wacana dan juga aktiviti lain yang bakal dianjurkan oleh UKUM pada masa kan datang. Ini kerana wacana seumpama ini dapat memberikan banyak manfaat kepada mereka dalam menambahkan pengetahuan khususnya berkaitan ketokohan ulama Melayu. Penganjuran wacana seumpama ini diharapkan mampu menyemarakkan kembali kehebatan dan ketokohan para ulama Melayu silam di Terengganu dan negeri-negeri lain di Malaysia.

  Wacana Ulama 1 Wacana Ulama 2   Wacana Ulama 3   Wacana Ulama 4   Wacana Ulama 5