Cetak

Ucapan Alu-aluan Dekan

dekan

Assalamualaikum wr. Wb.,

Alhamdulillah, kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat-Nya. Selawat dan salam kepada junjungan kita Rasulullah SAW.

Dalam kesempatan ini, saya dengan penuh ta’zim  merakamkan ‘ahlan wa sahlan wa marhaban bikum’  ke laman sesawang Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin.  Saya mengharapkan laman sesawang  ini akan menjadi wahana yang ampuh dalam menyebarkan maklumat tentang FKI kepada khalayak dan massa ke arah menjadikan FKI sebagai pilihan utama dalam melaksanakan tanggungjawab jihad fi al-Ta’lim wa al-ta’allum.

FKI  yang dahulunya dikenali sebagai Sekolah Pengajian Islam telah menelusuri sejarah yang panjang dan berliku sepanjang 25 tahun keberadaannya. Ini menjadikannya sebagai sebuah fakulti yang  mantap dalam menempuh cabaran dan keperluan pendidikan tinggi dewasa ini selaras dengan apa yang terkandung dalam Pelan Strategi Pendidikan Tinggi Negara.

FKI sentiasa mempertingkatkan iltizam dalam menyempurnakan amanah  dalam mendidik  anak bangsa menjadi warganegara yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.  Kejayaan mendidik generasi pelajar  juga bergantung kepada keupayaan FKI menyediakan tenaga pengajar  yang kompeten melalui  aktiviti-aktiviti penyelidikan, perundingan dan penulisan karya-karya akademik. Dalam memperkasakan lagi aktiviti-aktiviti tersebut, pihak FKI sentiasa menggalakkan dan menyokong sebarang usaha pemantapan diri oleh kakitangan akademiknya di samping mengadakan kerjasama dengan universiti-universiti dalam dan luar negara. Pihak FKI juga giat berusaha untuk memacu aktiviti-aktiviti akademik yang  merentasi disiplin ilmu pengajian lslam bagi membolehkan buah fikiran dan solusi-solusi Islam disebarluaskan melewati bidang pengajian lslam selaras dengan moto Ilmu Demi Faedah Insan.

Sebagai sebuah institusi sosial yang menghayati denyut nadi masyarakat, pihak FKI juga sentiasa berinteraksi dengan masyarakat luar kampus. Pihak FKI telah dan akan terus mengadakan pelbagai aktiviti yang bukan sahaja melibatkan kakitangannya tetapi juga generasi pelajarnya.

Akhirnya, marilah sama-sama kita  bersatu padu dan bekerjasama dalam menjayakan amanah jihad fi al-Ta’lim wa al-ta’allum ini. Pandangan dan saranan yang berguna dari khalayak amatlah kami harapkan demi kemajuan FKI tercinta ini.

 Sekian, terima kasih.

Prof. Dr. Kamarul Shukri bin Mat Teh

Dekan

Fakulti Pengajian Kontemporari Islam

Universiti Sultan Zainal Abidin