Cetak

Latar Belakang

Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah diperakukan penubuhannya oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mulai Julai 2006 dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pendidikan Tinggi bil 9/2006 pada 19 Disember 2006.

Fakulti ini merupakan gabungan tiga buah Sekolah Pengajian pada era KUSZA iaitu Sekolah Pengajian Islam (SPI), Sekolah Pengajian Umum (SPU) dan Sekolah Pengajian Pendidikan (SPP). Kombinasi tiga bidang utama iaitu Pengajian Islam, Pengajian Sains Sosial dan Pendidikan diharap dapat memperkasakan lagi bidang-bidang berkenaan khususnya yang berkaitan dengan isu-isu kontemporari. Walau bagaimanapun bermula pada tahun 2014, Pengajian Sains Sosial telahpun diasingkan daripada FKI bagi membentuk Fakulti Sains Sosial Gunaan

FKI kini diketuai oleh seorang Dekan dengan dibantu oleh tiga orang Timbalan Dekan, iaitu Timbalan Dekan Akademik dan Siswazah, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi serta Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni. Pentadbiran FKI diperkuatkan lagi dengan lima orang Ketua Pusat Pengajian. Pusat-pusat Pengajian di FKI yang diluluskan oleh Senat UniSZA ialah Pusat Pengajian Syariah, Pusat Pengajian Usuluddin, Pusat Pengajian Dakwah, Pusat Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, dan Pusat Pengajian Tamadun Arab dan Pendidikan Islam. 


FKI melaksanakan tiga aktiviti teras iaitu pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan perundingan serta khidmat masyarakat sebagaimana di IPTA-IPTA lain. Bagi merancakkan lagi pembangunan modal insan kepada seluruh warganya, FKI amat komited untuk terus berusaha membuat perancangan strategik bagi merekayasakan dan mempertingkatkan budaya kerja berprestasi tinggi, kreativiti dan inovasi dalam aktiviti-aktiviti terasnya.

   

 

VISI

FKI UniSZA berhasrat untuk menjadi sebuah pusat kecemerlangan akademik Islam bersepadu yang bertaraf antarabangsa bagi melahirkan pemimpin yang dinamik dan bertakwa berteraskan ilmu, iman, amal dan akhlak.

 

MISI

FKI UniSZA berusaha untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan dan inovasi secara bersepadu dalam bidang pengajian Kontemporari Islam bagi membentuk modal insan dan melahirkan generasi ulul albab yang berketerampilan menerusi budaya kecemerlangan ilmu, bersikap terbuka dan bertanggungjawab.

 

OBJEKTIF

Penubuhan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam akan :

  • Menyedia dan melahirkan modal insan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran berasaskan konsep kesepaduan ilmu.
  • Membentuk generasi yang mempunyai ciri-ciri kepemimpinan yang berminda glokal dan berupaya mengaplikasi serta menyebar khazanah ilmu berpaksikan al-Quran dan al-Sunnah.
  • Menyumbangkan kepakaran untuk pembangunan negara terutamanya dalam pembentukan dasar dan pelaksanaan program yang bertaraf nasional, serantau dan antarabangsa.