
MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MoU) ANTARA UniSZA DENGAN JABATAN PENJARA MALAYSIA
MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MoU) ANTARA UniSZA DENGAN JABATAN PENJARA MALAYSIA
Kajang, Selangor, 3 Julai 2025 – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) telah berjaya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Penjara Malaysia (JPM). Majlis penuh bermakna ini disempurnakan oleh YB Datuk Seri Shamsul Anuar bin Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Pihak UniSZA diwakili oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fadzli bin Adam iaitu Naib Canselor UniSZA, dan pihak JPM diwakili oleh YBhg. TKJP Dato’ Ibrisam bin Abdul Rahman iaitu Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan & Koreksional) JPM. Pada majlis sama, JPM turut mengadakan Majlis Pemakaian Pangkat dan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA).
Turut hadir Prof. Dr. Zuhairah Ariff binti Abd Ghadas, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Madya Dr. Syarilla Iryani binti Ahmad Saany, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan, Prof. Dr. Engku Muhammad Tajuddin bin Engku Ali, Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Dr. Muhammad Rashidi bin Wahab, Ketua Pusat Pengajian Usuluddin, dan pegawai-pegawai yang bertugas.
MoU yang ditandatangani ini menjadi pemangkin kepada UniSZA dan JPM untuk bekerjasama secara rasmi dalam pelbagai aspek antaranya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, latihan industri pelajar, sangkutan pensyarah, penawaran sijil kursus, penyelidikan strategik, penganjuran program seperti seminar, pemulihan, pembangunan modul kerohanian dan sebagainya lagi.
MoU ini membuktikan komitmen UniSZA untuk berganding bahu dengan pelbagai pihak dalam membangunkan negara melalui pendekatan kolaboratif dan interdisiplin. Majlis ini juga menjadi simbol sinergi antara institusi akademik dan agensi keselamatan negara dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan, keselamatan dan pemulihan yang lebih progresif dan berimpak tinggi.